Ke Arah Penubuhan Koperasi Sumber Terbuka Malaysia (KOSTEM)
06 Mei 2011 | Label: Koperasi, KOSTEM | |Komuniti Sumber Terbuka Malaysia telah merancang dan sedang usahakan penubuhan Koperasi Sumber Terbuka Malaysia. Kami memerlukan anda dalam usaha ini.
Kita sedia maklum, koperasi adalah satu usaha bersama ahli-ahlinya dengan mengumpul dan menyumbangk modal dalam bentuk yuran keahlian dan saham, bagi tujuan mengadakan kemudahan bersama, perniagaan yang menguntungkan dan mendapatkan hasil keuntungan daripada pelaburan saham dalam koperasi mereka.
Perisian Sumber Terbuka atau Open Source Software (OSS) pula adalah usaha komuniti OSS seluruh dunia dalam menghasilkan pelbagai perisian yang setanding dengan perisian yang dihasilkan dengan cara tertutup. Sumbangan komuniti OSS adalah dari segi masa dan ilmu dalam sesuatu projek telah menghasilkan perisian OSS.
Apa yang penting kerja sama. Sama ada koperasi atau perisian sumber terbuka, kerja sama kumpulan boleh menghasilkan keputusan dan hasil yang cemerlang dan manfaat kepada semua. Kami mahu gotong-royong dan kerja sama ini dalam meningkat taraf ekonomi komuniti OSS di Malaysia.
Perisian Sumber Terbuka?
Jika anda pengguna Mozilla Firefox, Google Chrome yang berasaskan daripada Chromium, Perisian pejabat OpenOffice.org, bahasa aturcara PHP, Python dan Ruby, memiliki telepon bimbit berasaskan Android dan anda pengguna Google.com. Apa yang saya nyatakan ini semua adalah hasil daripada perisian sumber terbuka. Perisian dan komuniti Sumber Terbuka kian berkembang dalam dunia ICT negara dan dunia dan menjadi pengaruh yang kuat dalam teknologi ICT.
Kami memerlukan anda yang terlibat dalam bidang ICT untuk turut sama menjayakan Koperasi Sumber Terbuka Malaysia (KOSTEM). Jawatan kuasa penaja KOSTEM telah mewujudkan kumpulan perbincangan melalui email dan laman web yang boleh disertai melalui laman ini :-
Perbincangan diatas boleh melalui email dan juga web. Bagi anda yang aktif menggunakan Facebook. Perbincangan adalah melalui kumpulan perbincangan OSDC.my Discussion Group In Facebook yang boleh disertai melalui laman ini :-
Anda juga boleh sertai Facebook Page KOSTEM di
dan laman rasmi KOSTEM
Bagi anda yang berminat untuk menjadi ahli koperasi KOSTEM sila daftar disini
*** Email pengenalan KOSTEM daripada Jawatan kuasa penaja KOSTEM :-
2 May 2011
Assalamu'alaikum & salam sejahtera.
Koperasi Sumber Terbuka Malaysia Berhad atau ringkasnya KOSTEM merupakan satu idea dan visi untuk membantu menjana ekonomi penggiat/pengguna/peminat Perisian Bebas dan Sumber Terbuka (FLOSS) di Malaysia melalui model koperasi (cooperative).
Model koperasi merupakan satu bentuk perniagaan yang mengutamakan kebajikan anggotanya. Petikan daripada Wikipedia:
Koperasi adalah pertubuhan manusia yang berautonomi di mana anggotanya bersatu secara sukarela demi mencapai kepentingan bersama di bidang ekonomi, sosial dan budaya, melalui suatu badan yang dimiliki bersama dan yang terkawal secara demokrasi ... Koperasi adalah berasaskan nilai-nilai berdikari, bertanggungjawab pada diri sendiri, demokrasi, kesamaan atau keadilan, perpaduan, kesetiaan dan bersatu hati. Selaras dengan tradisi pengasas gerakan itu, anggota koperasi menerima nilai-nilai etika, termasuk sadik, amanah, ketelusan, tanggungjawab sosial serta prihatin terhadap orang lain.
Dalam kata lain, model koperasi sangat bersesuaian dengan falsafah FLOSS iaitu kesukarelaan dan saling-bantu-membantu sesama anggota.
Oleh kerana setakat yang diketahui tiada satu komuniti FLOSS di mana-mana bahagian di dunia yang mengadaptasi model koperasi sebagai salah satu aktiviti menjana ekonomi berkaitan FLOSS, maka penubuhan KOSTEM bakal menjadi satu entiti baru dalam dunia FLOSS/OSS di Malaysia, mungkin di seluruh dunia, sekiranya ianya berjaya direalisasikan.
Tercetusnya idea mewujudkan koperasi di kalangan komuniti di Malaysia kerana ramai di kalangan ahli komuniti yang bergerak secara freelance serta sukarela, menyebabkan mereka sering menghadapi kekangan-kekangan tertentu yang membatasi niat untuk bergerak dengan lebih jauh, terutama soal kewangan. Dengan berkoperasi, nasib mereka ini akan lebih terpelihara dan dapat mengambil peluang-peluang yang datang, seperti contoh menguruskan sesuatu projek yang diperolehi oleh KOSTEM (project management) dan/atau menjadi seorang entreprenur dan bergiat dalam bidang perniagaan.
Dalam soal lain, KOSTEM juga boleh menjadi batu loncatan kepada komuniti untuk 'memasarkan diri', dimana mereka yang mempunyai kelebihan dan ilmu dalam FLOSS dapat menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan yang mereka miliki, sebagai contoh dalam bidang teknikal; penganalisis sistem, pembangunan teknologi WWW, pembangun perisian, atau sistem sokongan, dokumentasi, lokalisasi, hinggalah peringkat pengurusan; pengurus projek, pemasaran, dan lain-lain yang berkaitan.
Juga dengan penubuhan KOSTEM dapat membawa FLOSS dikenali di kalangan pengguna/pemain industri/sektor Awam & Swasta/badan korporat dan yang berkaitan. Ini kerana koperasi sendiri sektor ketiga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selepas Awam dan Swasta. Secara tidak langsung koperasi merupakan satu jenama yang kukuh dan diterima dalam ruang lingkup ekonomi di Malaysia, dan ini memberi peluang untuk KOSTEM bergerak dengan lebih jauh.
Sehingga kini, kami telah menubuhkan Jawatankuasa Penaja dimana bertanggungjawab dalam proses permohonan, merangka perniagaan yang akan dijalankan, hinggalah pelantikan Ahli Lembaga Koperasi dan menguruskan Mesyuarat Agung Pertama. Mereka yang menjadi Ahli Jawatankuasa Penaja telah dilantik semasa mesyuarat KOSTEM yang diadakan bersama-sama dengan Bengkel Antara Distro #2 di HackerspaceKL pada 26 Mac lepas. Mereka yang dipilih merupakan peminat, penggiat serta sukarelawan FLOSS di Malaysia.
Untuk menubuhkan sesebuah koperasi, ianya memerlukan sekurang-kurangnya 50 orang bakal anggota. Namun, adalah lebih baik sekiranya bakal anggota *perintis* lebih dari itu.
(catatan: Sebelum ini pada peringkat awal perbincangan, telah dikumpulkan nama-nama mereka yang berminat untuk menyertai KOSTEM, tetapi untuk memudahkan urusan, mereka akan menerima emel berasingan)
Kami sedang mencari mereka yang berminat untuk menyertai KOSTEM. Dan kami juga menyeru kepada penggiat FLOSS di Malaysia supaya menjadikan KOSTEM sebagai platform untuk memajukan industri/komuniti/budaya ini.
Sila isikan butir-butir peribadi yang diperlukan di dalam borang dibawah:
Untuk maklumat lanjut berkaitan KOSTEM, sila lawati Wiki KOSTEM (http://bit.ly/wiktem) atau sertai perbincangan di milis (http://bit.ly/KOSTEM). Terima kasih.
Salam hormat,
Mohamad Imran Ishak (MakLaN)
Setiausaha AJP KOSTEM
--
----------------
*** Lain-lain ***
Malaysia Open Source Conference 2011 (MOSC2011)