Netika Dunia Internet

25 November 2013 | Label: , , | |


Salinan dengan izin penulis asal.

Internet adalah satu medium perhubungan yang luas, dimana ia tidak mempunyai badan perundangan dan undang-undang yang jelas untuk mengawalnya. Internet kini semakin popular dan meluas namun langkah-langkah untuk membuat undang-undang untuk Internet masih tidak lengkap lagi untuk meliputi semua perkara.

Internet sebenarnya mempunyai kod etikanya sendiri. Kita tidak boleh lupa bahawa internet ini adalah hasil usaha kerja tangan manusia dan sudah tentulah akan terbentuk adab-adab dan tingkah laku ianya tersendiri. Walaupun dimana kita berada, diruangan "YM", “chat”, “IRC”, “ICQ”, Kumpulan Perbincangan (forum) dan senarai email (mailing list), akan wujud netika atau “netiquette” tersendiri.

Artikel ini, akan membincangkan soal netika atau “netiquette” secara asas. Pertama-tama sekali yang anda perlu lakukan ialah anda perlu berfikir walaupun anda menggunakan Internet di hadapan sebuah komputer, anda sebenarnya masih berhubungan dengan manusia. Cara bagaimana anda saling berhubungan dengan orang lain empat mata, sepatutnya anda lakukan juga di dalam Internet.

Sebagai seorang insan sudah tentu anda mahu dilayan dengan baik. Walaupun di dalam Internet kita dibayangi dengan nama samaran dan orang lain tidak nampak siapakah kita, namun anda masih tidak berhak melakukan apa sahaja yang anda suka di dalam Internet. Anda perlu tunjukkan tingkah laku yang baik. Cuba fikirkanlah, sanggupkah anda berlaku sikap kurang ajar jika anda berhadapan dengan seseorang ?

Saya sendiri pernah mendapat email yang mempersoalkan tentang satu penulisan saya. Caranya agak kasar, mempersoalkan seolah-olah, kita yang bersalah. Kita sepatutnya walaupun di dalam email perlulah beradab dan bersopan-santun. Kita akan dinilaikan dengan apa yang kita tulis.

Jika anda membaca artikel yang bertajuk “KERAHSIAAN DAN KEPERIBADIAN INTERNET” tentu anda sudah tahu bahawa apa yang anda tulis di dalam email, tidak hilang begitu sahaja. Email-email anda mungkin akan disimpan untuk jangka masa yang lama oleh pelbagai komputer pelayan (server). Mungkinkah email anda akan ditemui semula ? dan diri anda akan dinilaikan dengan apa yang anda tulis dimasa silam.

Maka, sebelum anda menghantar sesuatu email, tanyalah kepada diri anda. “Adakah anda akan kata sebegini di depan seseorang?” Jika tidak, tuliskan semula email anda sehingga anda berpuas hati.

Sebagaimana anda mahu dilayan dengan baik di dunia luar sana maka begitu juga di dalam Internet. Di luar sana anda akan bersifat sopan-santun penuh hati-hati dengan seseorang kerana dengan harapan anda juga akan dilayan begitu. Di Internet anda juga sepatutnya berkelakukan sebegitu. Seperti juga cara kita di luar sana, masyarakat Internet juga akan melayani anda dengan baik sekiranya anda juga bersikap baik dan mengamalkan sikap yang baik sama seperti yang anda lakukan diluar Internet.

Bagaimana pula jika anda pula menerima email, yang isinya anda tidak kehendaki. Cara yang terbaik ialah terus padamkannya. Anda sebenarnya tidak perlu membalas apa-apa yang dikatakan, kerana ia akan lagi menggalakkan pengirim menghantar email sebegini kepada anda. Bila anda tidak membalas, dia akan menganggap anda tidak berminat menerima emailnya dan mungkin terus melupakan sahaja anda.

Jika email itu satu gangguan dan mempunyai unsur-unsur jenayah anda digalakkan untuk mendapat bantuan Mycert. Rujuk laman mereka di


Anda juga perlu beringat, di dalam Internet, anda juga dirangkumi oleh undang-undangnya tersendiri. Bagi kita di Malaysia, jika email anda mempunyai unsur fitnah atau tuduhan yang boleh menimbul kekacauan anda oleh didakwa. Begitu juga dengan akta hakcipta dan sebagainya. Anda perlu tahu kemungkinan-kemungkinan ini.

Malaysia mempunyai akta dan undang-undang yang melibatkan Internet, sila rujuk laman Mycert ini.


Sebelum anda menjelajahi Internet. Anda masih dirangkumi oleh undang-undang lain, Internet belum punya undang-undang tersendiri. Maka berhati-hatilah bila menghantar sesuatu atau mengambil sesuatu bahan. Pastikan sekurang-kurangnya anda letakkan sambungan bahan-bahan rujukan anda.

“Masuk kandang kambing mengembek, dan masuk kandang harimau mengaum”. Begitulah bidalan yang kita sepatutnya pegang. Apabila kita memasuki sesuatu kumpulan perbincangan, perhatikan dahulu cara dan bagaimana kumpulan itu berbincang sesama mereka. Pasti ada satu nilai netika mereka sendiri dalam kumpulan perbincangan itu.

Ketahuilah apa yang boleh dan tidak boleh dalam kumpulan dan bila anda telah mengenali cara mereka, maka barulah anda menyertai perbincangan mereka. Adalah satu netika yang baik, jika anda memulakan dengan mengenalkan diri anda. Itu pun bergantung kepada kumpulan perbincangan. Namun begitu bagi kumpulan perbincangan di Malaysia, ia adalah satu langkah yang baik dan bersopan. Tidak perlu anda mendedah identiti penuh anda.

Sekadar bicarakan anda baru di senarai email ini dan pandangan anda tentang tajuk semasa dalam senarai email itu. Pilihlah tajuk yang tidak kontrovosi dahulu. Perhatikan dan cuba fahami rentak dan “netika tidak bertulis” dalam kumpulan perbincangan yang anda pilih. Pasti lambat laun anda akan diterima dengan identiti anda sendiri. Jika anda pakar didalam sesuatu bidang. Adalah digalakkan anda menyumbang sesuatu yang anda pakar dan tahu untuk kumpulan perbincangan. Anda akan lebih dihargai lagi.


Contoh-contoh netika kumpulan perbincangan dan forum yang boleh anda lihat di


Anda juga perlu tahu, kebanyakan kumpulan perbincangan telah menetapkan apa yang perlu dan sepatutnya dibincangkan. Jangan sesekali cuba bawa tajuk luar daripada skop kumpulan perbincangan yang anda sertai, mungkin kiriman anda tidak diterima dan paling teruk sekali anda mungkin akan diserang dengan email yang tidak senang dengan tindakan anda. Sebagai contohnya, sekiranya anda menyertai kumpulan perbincangan tentang Windows, janganlah pula anda posting tentang Linux di dalamnya.

Kenapa ada kumpulan perbincangan sebegini? Dengan menetapkan dan menentukan apa yang boleh dan perlu dibncangkan, kita akan membuatkan kumpulan itu lebih fokus. Bila kumpulan perbincangan ada fokus, email-email akan lebih berkualiti dan dapat mengumpul pakar-pakar dalam satu kumpulan perbincangan.

Anda perlu juga beringat, bukan semua orang menerima email seperti anda. Anda perlu ketahui bahawa ada yang masih menggunakan Internet dengan kelajuan talian yang perlahan. Ada yang masih menggunakan email dalam “plain-text” sahaja, tanpa ciri-ciri tambahan yang lain.

Anda perlu hormati kos yang mereka hadapi bagi setiap saat yang mereka gunakan untuk memasuki Internet. Adalah satu perkara yang membazirkan masa dan wang untuk membaca setiap email kemudiannya ia didapati hanya satu dua baris sahaja atau email ulangan. Anda hanya menimbulkan kemarahan kepada orang lain atas sikap tidak ambil berat anda. Hormati masa mereka pastikan sebelum anda hantarkan email anda pastikan ia punya isi dan berkualiti. Pastikan juga anda tidak terhantar lebih daripada sekali email anda itu. Anda perlu menunggu sekurang-kurangnya sejam atau dua, sebelum anda membuat keputusan untuk menghantar email anda.

Anda juga perlu pastikan "auto responder" atau "vacation" dihentikan. "Auto responder" dan "vacation" hanya menghantar email-email yang tidak perlu dan memenuhkan peti surat email orang lain, terutama bila anda menyertai kumpulan perbincangan yang sibuk. Terlalu banyak email boleh menyebabkan komputer pelayan terpaksa melakukan kerja yang banyak dan ini mungkin boleh menyebabkan pengendalian penghantaran email dalam kumpulan perbincangan menjadi perlahan. Maka hormatilah masa, tenaga dan sumber-sumber orang lain yang mungkin anda akan bazirkan kerana email-email anda.

Adalah digalakkan jika dalam kumpulan perbincangan ada topik yang anda rasa hanya perlu diluahkan, secara peribadi dihantar kepada satu pihak sahaja tanpa perlu dihantar kepada kumpulan perbincangan. Email satu dua baris seperti “kami sokong” hanya perlu dihantar kepada satu pihak sahaja, kepada penghantar. Seumpama juga anda mahu diri kelihatan cantik dan baik di dalam majlis dan apa-apa perjumpaan. Anda juga perlu berbuat sebegini di dalam internet. Jaga budi bicara dan tatacara anda sebagaimana anda bersopan-santun bila berbicara diluar sana.

Didalam internet anda juga dinilaikan berdasarkan tulisan anda. Perhatikan ejaan dan tatabahasa anda. Jika anda selalu di internet, adalah baik anda ambil masa menghadiri kelas bahasa. Tidak merugikan anda kerana dengan apa yang dipelajari untuk internet anda juga akan pratikkan diluar sana berhubung dengan orang lain.

Anda juga boleh mengajak orang lain di dalam Internet untuk mengajar anda tentang bahasa yang anda ingin pelajari. Saya percaya pasti ramai yang ingin membantu. Bagi mereka yang pakar dan tahu di dalam sesuatu bahasa, cuba tubuhkan kelas melalui email atau kumpulan “chat” untuk mengajar perlbagai bahasa. Anda boleh menggunakan kemudahan perbincangan email yang disediakan di http://www.yahoogroups.com/ dan http://www.googlegroups.com/ .

Sebelum anda menghantarkan sesuatu email pastikan anda memeriksa email anda sebanyak 2 kali, sekurang-kurangnya. Jika anda berpuas hati, periksa sekali lagi. Jangan ada kesalahan ejaan atau tatabahasa, yang paling penting email anda tidak menginggung perasaan terlalu ramai orang. Selain daripada itu, pastikan penyampaian anda jelas dan mudah difahami. Di dalam internet email adalah terlalu mudah untuk disalah-ertikan. Adakalanya email yang kita tulis bermaksud baik, namun pengguna Internet ini terdiri daripada pelbagai golongan. Pasti ada yang tidak dapat menerima pendapat anda. Anda pasti mendapat email daripada mereka dengan nada marah.

Adalah tidak mustahil anda akan berkelahi atau berdebat panas melalui email. Di dalam internet barat ia dipanggil “flame war”. Dari segi netika Internet adalah dibolehkan untuk berdebat dan email yang isi kandungannya panas. Namun begitu jagalah tata susila bahasa anda kita tidak perlu mengikut cara Internet barat penuh kutukan dan kata-kata kesat. Berdebat dengan cara bijaksana.

Jika perdebatan anda melibat “user group”, mailing list,kumpulan chat atau pelbagainya. Anda perlu tahu apa yang anda tulis akan dibaca oleh ramai orang. Anda perlu menghormati mereka kerana ia juga mengambil masa mereka dan mungkin menambah beban dari segi penggunaan talian dan komputer, tanpa mereka kehendaki. Anda mungkin dalam pedebatan apa yang anda tulis akan meninggung perasaan orang lain dan anda kan mengajak lebih ramai lagi menyertai perdebatan ini. Perkara ini akan menimbulkan keadaan yang tidak sihat di mana jika terlalu banyak email dihantar dan terlalu banyak yang perlu dikendalikan oleh pelayan email, ini mungkin akan menyebabkan pelayan menjadi terlalu sibuk, menjadi perlahan atau terus tidak berfungsi.

Ada beberapa langkah yang anda boleh lakukan dalam penggunaan internet agar anda lebih dihormati dan dihargai lagi.

Setiap kali anda menulis pastikan anda memeriksanya sekurangnya dua kali dan jika anda telah berpuas hati. Periksa sekali lagi untuk memastikan tiada kesalahan bahasa dan tatabahasa. Tanyalah juga pada diri anda adakah ini cara anda mahu orang lain berhubung dengan anda. Jika tidak, tulis sekali lagi yang bersesuaian.

Anda juga perlu kenal tiap-tiap perisian yang anda gunakan, terutama perisian email anda. Dalam kumpulan perbincangan yang menggunakan email, terdapat pelbagai perisian email yang mempunyai formatnya sendiri dalam menghantar email. Bagi perisian email sekarang, ada kecenderungan untuk menghantar email dalam bentuk HTML. Bahasa yang digunakan dalam pelayar Internet kita. Namun begitu bukan semua perisian dapat menerima format HTML dan ini akan menimbulkan banyak masalah bagi ramai pengguna. Jika anda terlibat dengan kumpulan perbincangan adalah digalakkan untuk anda menentukan bahawa email anda dihantar dalam “plain-text” sahaja. Dengan format “plain-text”, dengan ini lebih ramai pengguna dapat membacanya.

Configuring Mail Clients to Send Plain ASCII Text

Anda juga perlu memerhatikan format penulisan email anda. Jangan sesekali menulis semuanya dalam huruf besar. Di dalam Internet ia dianggap sebagai menjerit. Perhatikan dan cuba tetapkan panjang satu baris dalam 60-70 patah perkataan sahaja. Ini adalah kerana sesetengah applikasi email akan “wrap” atau memendekkan baris-baris email anda dan ini menyebabkan email anda menjadi tidak kemas dan sukar dibaca.

Jika anda berminat untuk berkongsi satu-satu laman, janganlah hantar ruang laman itu semua. Cukuplah dengan anda meletakkan alamat laman itu. Pastikan alamat laman itu bermula dengan penuh “http://”. Ada sesetengah email akan mengenal ia sebagai sambungan laman dan ini memudahkan pembaca pergi ke laman itu dengan satu klik sahaja.

Jika anda membalas sesuatu email pastikan anda tidak mengambil semua email asal (Quote). Ambil sekadar yang berkait dengan email yang anda ingin balaskan. Anda juga perlu memberikan tajuk yang sesuai dan berkaitan dengan email anda. Jadikan tajuk email anda jelas menerangkan tentang kandungan email anda. Anda juga perlu berhati-hati setiap kali anda menghantar email, pastikan anda menghantar kepada penerima yang betul. Adalah sesuatu yang memalukan jika anda terhantar email peribadi kepada kumpulan perbincangan. Email anda akan dibaca oleh ramai orang.

Pastikan anda menyimpan email pengenalan dan permulaan kumpulan perbincangan anda. Di dalamnya ada dinyatakan cara-cara untuk berhenti daripada kumpulan. Catatkan juga alamat penyelanggara kumpulan perbincangan anda. Ini akan memudahkan anda untuk menyuarakan sebarang masalah anda. Jangan sesekali menghantar email untuk keluar ke kumpulan perbincangan. Ini hanyalah satu gangguan. Pastikan anda tahu cara untuk keluar dengan betul dan jika menghadapi masalah sila hantarkan email terus kepada penyelenggara. Bagi pengguna email percuma daripada laman seperti Yahoo, Hotmail, Ikhlas.com dan webmail. Anda perlu berhati-hati bila menekan butang hantar (send), jangan anda terhantar lebih daripada sekali. Sabarlah menunggu, mungkin pelayan laman anda lambat atau perlahan dalam melayan permintaan anda. Selalunya jika pelayan laman email anda menghadapi masalah ia akan keluarkan, laporan masalah kepada anda.

Cuba elakkan diri anda daripada mengiklankan perniagaan anda di dalam kumpulan perbincangan. Pastikan jika anda mahu juga mengiklankan sesuatu, lihat samada ia boleh diterima dengan baik oleh kumpulan perbincangan itu. Pastikan anda meletakkan dalam subject perkataan IKLAN atau “AD” bagi kumpulan perbincangan barat.

Dengan mematuhi netika dan undang-undang tidak bertulis ini, anda akan membuat internet sesuai untuk hampir semua orang. Internet memerlukan kerjasama dan sikap tolenrasi penggunanya. Jadikan anda diterima oleh dengan mematuhi kehendak-kehendak penghuninya .

Rujukan lain.

Netiquette home page

Achiving the Internet

RFC 1855 Netiquette Guidelines

Perisian Email Pilihan

Mail Archive


Bagi kemas kini terbaru anda dijemput untuk sertai senarai terhad email di

Artikel Kemas kini versi 1.1
1 Mar 2008

Artikel Asal Versi 1

Harisfazillah Jamel
6 Dis 2002

Oleh : Harisfazillah Jamel
Untuk http://cikgucyber.blogspot.com/

Kemas kini 24 Nov 2013.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Popular